Gegar Amerika Logo
2026-11-14
Bantah Pusat Data!
Pusat data Malaysia dalam rantaian bekalan imperialis.

Pada 4 November 2026, Google mengumumkan pelaburan besar sebanyak US$15 bilion bagi pembinaan tiga pusat data baharu di Semenanjung Malaysia, termasuk Sungai Buloh, Selangor; Port Dickson, Negeri Sembilan, dan Serendah, Negeri Sembilan. Ini bukan pusat data pertama Google di Malaysia: pusat data Google yang bertapak di Elmina Business Park, Selangor telah beroperasi di Malaysia sejak 2026.

Google antara penjana utama infrastruktur jentera perang Zionis. Ia bekerjasama rapat dengan Amazon dalam Project Cloud Nimbus, sebuah projek bernilai US$1.2 bilion yang membekalkan tentera Israel dengan perkhidmatan pengkomputeran awan dan AI. Google juga bekerjasama dengan Lockheed Martin—pembekal senjata utama AS dan Israel—bagi "melatih, menggerakkan, dan mengekalkan model AI berprestasi tinggi" dalam bidang keselamatan negara, aeroangkasa, dan sains.

Pengembangan pusat data AI di Malaysia secara pesat dan mendadak—dengan dorongan syarikat-syarikat gergasi Zionis seperti Google, Microsoft, dan Amazon—bukan kebetulan: ia sebahagian dari usaha AS dan Israel untuk teruskan memodenisasi genosid dan pembunuhannya di Palestin dengan bantuan teknologi dan AI.

Ia tidak dapat dinafikan: AI sama yang dibangunkan syarikat teknologi Barat ini digunakan Israel untuk bunuh rakyat Palestin. Program AI Israel "Lavender" digunakan Israel untuk mengklasifikasi dan menyasarkan orang Palestin sebagai "pengganas", manakala "Where's Daddy" pula akan mencari lokasi dan rumah mereka untuk membunuh mereka, sekali dengan keluarga dan saudara-mara mereka.

Jadi kenapa syarikat AI Zionis kini berpusat di Malaysia? Jawapannya: tekno-imperialisme. Bagi menyimpan, memproses, dan mengurus maklumat dengan skala besar, syarikat Big Tech memerlukan pembinaan pusat data secara besar-besaran. Hal ini memerlukan jumlah tenaga, air, dan tanah yang banyak. Dengan bantahan terhadap pusat data di AS semakin meningkat, syarikat-syarikat ini beralih ke negara di Dunia Selatan dengan tanah dan elektrik yang murah untuk membina pusat data mereka—seperti yang kini sedang dibina di Negeri Sembilan dan Selangor.

AI sering diiklankan kelas pemerintah sebagai penyelesaian kepada isu pengangguran, kekurangan peluang pekerjaan, dan krisis ekonomi yang semakin melanda rakyat Malaysia. Tetapi di sebalik kemakmuran yang dijanjikan terdapat realiti yang lebih pahit tentang AI: tanah, air, dan sumber rakyat Malaysia sedang dijajah dan dirampas secara terang-terangan untuk jentera perang imperialis, tanpa manfaat kepada rakyat Malaysia.

Kementerian Sumber Manusia (Kementerian Kapitalisme) sendiri mengakui bahawa pengembangan pusat data di Malaysia tidak akan menghasilkan banyak peluang pekerjaan, berbanding industri-industri lain.

Walaupun manfaat ekonominya kecil, tetapi beban yang terpaksa ditanggung rakyat dan alam sekitar besar. Contohnya, air. Pusat data AI memerlukan satu hingga lima juta gelen air sehari untuk tujuan penyejukan, sekali gus mengancam bekalan air sedia ada. Pusat data sering dibina di negeri berisiko tinggi mengalami kemarau dan defisit air akibat krisis iklim seperti Johor, Negeri Sembilan, dan Selangor. Kesannya sudah mula dirasai rakyat: di Johor, yang mempunyai hampir 50% pusat data di seluruh Malaysia, protes membantah pusat data di Gelang Patah tercetus akibat kekurangan air, pencemaran habuk, dan masalah kesihatan.

Sementara itu, Rimbawatch telah mendokumentasi sebanyak 66 projek pusat data di seluruh Semenanjung Malaysia. Sama sekali, pusat-pusat data ini menghasilkan 44 juta tan pelepasan gas rumah hijau setiap tahun—sama dengan pelepasan seluruh negara seperti Tunisia dan Guatemala. Jumlah penggunaan tenaga elektrik oleh sektor pusat data juga dijangka melonjak kepada 31 peratus bersamaan 73,274 gigawatt jam (GWj) menjelang 2035.

Di kala dunia semakin canggih dan AI semakin digunakan sebagai senjata perang, pusat-pusat data ini tiada beza dari segi fungsi dan bentuknya dengan pangkalan tentera AS. Dua-dua menyumbang kepada keupayaan ketenteraan AS dan Israel secara langsung, dan dibina dengan tanah dan sumber rakyat tanpa kerelaan komuniti tempatan.

Dan syarikat yang terlibat bukan hanya Google. Google, Microsoft, IBM, Nvidia, Oracle dan Palantir semua dinamakan Iran sebagai 'Imperial Six' yang membekalkan teknologi AI kepada tentera AS. Teknologi AI inilah yang membolehkan AS melancarkan 1,000 serangan di Iran dalam masa hanya 24 jam, termasuk serangan ke atas sebuah sekolah perempuan di Minab yang merampas nyawa 152 kanak-kanak. Atas sebab inilah pejabat Microsoft di Beersheba, Israel turut menjadi sasaran serangan oleh Iran.

Dan kini syarikat-syarikat sama mengembang di Malaysia atas nama pelaburan langsung asing (FDI)—menceroboh komuniti dan kawasan kita, mengeringkan bekalan air kita, dan merampas tanah dan hutan kita untuk pusat data gergasi mereka.

Microsoft mengendalikan pusat data di Greater Kuala Lumpur, manakala pusat infrastruktur awan utama Malaysia di Johor Bahru juga sedang dalam pembinaan, sebagai sebahagian daripada pelaburan besar US$2.2 bilion Microsoft di Malaysia.

Sementara itu, syarikat milik Australia, NextDC, membina pusat data antarabangsa pertamanya di Petaling Jaya bernilai RM2.8 bilion. NextDC merupakan rakan strategik Amazon Web Services, yang bekerjasama dengan Google untuk membekalkan perkhidmatan awan kepada tentera Israel. Pada 29 September 2026, Amazon menandatangani satu lagi perjanjian dengan pemaju Malaysia, Sunsuria Berhad untuk membina pusat data baharu di Sepang, Selangor bernilai US$77.66 juta.

Syarikat-syarikat ini semuanya sebahagian daripada rangkaian Pax Silica, rangkaian yang diasaskan oleh AS dan Israel untuk memonopoli AI, mineral kritikal, dan bagi keperluan perangnya. Komuniti orang asli di India, Filipina, dan ahl Pax Silica lain sedang diusrir secara besar-besaran untuk memberi ruang kepada projek nadir bumi kritikal dan AI mega bawah Pax Silica.

Adakah ini masa depan yang diimpikan kelas pemerintah bagi rakyat Malaysia? Genosid dan pembunuhan di luar negara; kemusnahan, pencemaran, pengusiran, dan eksploitasi di negara sendiri. Sekiranya AI dijadikan mesra alam sekitar sesekalipun, kita tetap kena bantah teknologi ini atas perannanya dalam industri dan ekosistem perang global.

Dan apabila kita bercakap tentang perang, kita bukan sahaja bercakap tentang perang dalam erti kata biasa seperti genosid yang berlaku di Gaza, atau serangan AS keatas Iran yang dipacu teknologi AI. AI juga berbentuk perang terhadap jati diri dan nilai kita sebagai manusia. Seperti yang ditulis Karen Hao dalam "Empire of AI", AI adalah empayar yang hidup dengan menjajah "karya penggiat seni dan penulis; data peribadi berbilion individu yang berkongsi pengalaman dan pemerhatian mereka setiap hari dalam talian; [dan] tanah, tenaga, serta air yang diperlukan bagi penempatan pusat data dan superkomputer berskala besar".

Berhadapan dengan empayar AI ini, apa yang perlu kita buat? Desak kerajaan Malaysia untuk hentikan pembinaan pusat data baharu, terutamanya yang terlibat dengan genosid, jenayah perang, dan kerosakan alam sekitar. Tingkatkan protes dan aksi langsung terhadap Big Tech dan syarikat-syarikat yang terlibat dalam rantaian bekalan imperialis. Didik masyarakat awam tentang peranan industri AI dan pusat data dalam jentera perang imperialis. Sokong pertubuhan dan rangkaian masyakarat akar umbi yang membantah pusat data di Malaysia. Ikuti kumpulan dan inisiatif seperti Rimbawatch dan Malaysia Data Centres (IG: @datacentresmalaysia) yang mengumpul data dan kajian tentang pusat data di Malaysia. Sokong seruan gerakan anti-imperialis di Filipina, India, dan negara lain untuk membantah projek Pax Silica yang bakal menjadikan Asia dan seluruh Dunia sumber bekalan rantaian AI, semikonduktor, dan nadir bumi kritikal untuk AS dan Israel.