
Jangan Berunding Dengan Penjenayah Perang: Tolak Junta, Berdiri Bersama Myanmar!
Pada hari Khamis, 24 September, GEGAR, Artivist Network, Beyond Borders, AKSI, dan pertubuhan komuniti pelarian telah mengadakan protes dan penyerahan memorandum di Kementerian Dalam Negeri, bagi membantah rancangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menyambut Min Aung Hlaing ke Malaysia dan merunding pengusiran besar-besaran pelarian Rohingya ke Myanmar.
Bagi menzahirkan bantahan kami terhadap kedatangan ketua junta fasis ini, kami membaca testimoni, puisi, dan ucapan daripada pelbagai gerakan akar umbi dan organisasi pelarian, daripada Rohingya Rights Response hingga Blood Money Campaign Myanmar.
Pemulangan paksa 1,476 pelarian ke Myanmar sudah dijadualkan pada 29 September, dengan bantuan dua kapal perang Tentera Laut Myanmar. Bukan sahaja 200,000 warga Rohingya berisiko tinggi untuk dihantar pulang, malah pelarian yang dijadualkan untuk dihantar pulang turut termasuk ahli gerakan revolusioner dan ketidakpatuhan sivil di Myanmar, yang berdepan risiko penyeksaan dan pemenjaraan oleh junta fasis jika dipaksa pulang.
Menyambut Min Aung Hlaing dan angkatan tenteranya ke Malaysia ialah satu pengkhianatan yang tidak boleh dimaafkan terhadap gerakan rakyat akar umbi di Myanmar. Sejak rampasan kuasa tentera pada 2021, junta yang diketuai Min Aung Hlaing telah menggulingkan kerajaan yang dipilih secara demokratik, memenjarakan lebih 28,000 tahanan politik, dan membunuh lebih 8,000 orang awam di Myanmar dalam serangan udara besar-besaran.
Min Aung Hlaing dan kartel tenteranya juga merupakan arkitek utama genosid Rohingya sejak 2017, yang meragut ribuan nyawa dan memaksa jutaan lagi meninggalkan tanah air mereka. Rogol beramai-ramai, pembunuhan kanak-kanak, pemindahan paksa, dan pembedilan tanpa henti telah menjadi amalan tetap tentera ini. Tanah air yang diduduki nenek moyang Rohingya berkurun-kurun dijadikan kubur besar. Yang terselamat pula terpaksa mempertaruhkan segala-galanya untuk melarikan diri daripada pemusnahan habis-habisan.
Dengan memberi layanan karpet merah kepada junta fasis Myanmar, Malaysia telah memberikan junta ini legitimasi politik, dan lebih buruk lagi, ia telah menjadi pemudah cara kepada genosid terhadap Rohingya dengan menyerahkan ratusan ribu pelarian kembali kepada penindas mereka.
Untuk memahami kebankrapan moral rancangan repatriasi ini, kita perlu mengikuti penderitaan yang dihadapi oleh Rohingya sehingga hari ini. Pada tahun 1982, kerajaan tentera Myanmar menggubal Undang-undang Kewarganegaraan Burma, yang melucutkan kewarganegaraan Rohingya. Dalam sekelip mata, seramai 800,000 orang menjadi tanpa negara secara de jure; kehilangan akses kepada hak asasi seperti pendidikan asas, penjagaan kesihatan dan peluang pekerjaan yang sama. Hari ini, lebih 3.5 juta Rohingya masih menderita akibat nasib ini.
Dasar-dasar hidup atau mati ini tidak lain dan tidak bukan ialah sebentuk taktik pecah dan perintah. Di tengah-tengah bencana iklim yang semakin buruk dan krisis sosioekonomi akibat imperialisme, kelas pemerintah Malaysia, dengan kerjasama junta fasis, menjadikan Rohingya kambing hitam demi kuasa dan kepentingan mereka sendiri.
Pada hakikatnya, data rasmi PDRM mendedahkan bahawa Rohingya hanya menyumbang 0.02% daripada kadar jenayah, berjumlah hanya 89 orang daripada 126,144 populasi pelarian yang berdaftar. Tambahan pula, pengawasan yang mereka hadapi kerana bekerja secara tidak sah mengabaikan ketidakpastian status undang-undang yang Malaysia kenakan keatas mereka, di mana mereka tidak boleh memegang pekerjaan secara formal kerana kita kekurangan rangka kerja undang-undang yang diperlukan untuk membenarkannya.
Pada hakikatnya, data rasmi PDRM menunjukkan Rohingya terlibat dalam hanya 0.02% kes jenayah, iaitu hanya 89 orang daripada 126,144 pelarian yang berdaftar. Namun, kecaman terhadap mereka kerana bekerja secara tidak sah mengabaikan kekaburan undang-undang yang mereka alami. Mereka tidak boleh bekerja secara formal kerana tiada rangka kerja undang-undang yang membenarkannya.
Gelombang sentimen anti-Rohingya yang meningkat baru-baru ini mendedahkan kemunafikan yang tidak selesa dalam moral Malaysia. Bahasa yang sama digunakan oleh media Barat dan Zionis dalam merujuk kepada Palestin, digunakan oleh media dan institusi tempatan apabila berbahas tentang Rohingya.
Kita mengakui bahawa mustahil bagi Palestin untuk pulih selagi masih menderita di bawah genosid, dan mereka memerlukan bantuan kita untuk mendapatkan makanan dan perumahan. Namun, kita berpaling dan mengutuk Rohingya kerana hidup dalam kemiskinan, walaupun kita sendiri yang menghalang mereka daripada bekerja.
Kita menentang sebarang kerjasama dengan Netanyahu dan rejim Zionis pembunuh, tetapi berunding dengan penjenayah perang yang dikehendaki ICC di sebelah kita.
Solidariti mesti merentasi sempadan. Jika kita lantang menentang genosid dan pemindahan paksa Palestin, maka kita juga wajib menentang penghantaran pulang pelarian ke zon konflik aktif di bawah rejim pimpinan penjenayah perang Min Aung Hlaing.
Tanggapan bahawa Rohingya boleh pulang dengan selamat di bawah pemerintahan Min Aung Hlaing ialah satu pembohongan.
Menghantar mereka ke tangan junta yang melucutkan identiti mereka bukan sekadar kesilapan bodoh, ia pelanggaran hak asasi manusia antarabangsa terang-terangan.
Ia adalah refoulement yang menyamar sebagai dasar ekonomi yang pragmatik.
Lawatan Min Aung Hlaing ke Malaysia mesti dihentikan.
Kerajaan Malaysia mesti membatalkan jemputan dan menarik diri daripada penghantaran pulang yang dijadualkan.
Kita mesti meletakkan nyawa manusia di atas kepentingan politik.
Kita mesti menolak untuk berunding dengan penjenayah perang.
GEGAR
24 SEPTEMBER 2026

