Gegar Amerika Logo
2025-10-07
Refleksi Dari Sistem Penjara Malaysia
Pembebasan Palestin tidak boleh dipisahkan daripada perjuangan untuk membebaskan banduan.

Esei ini menceritakan pengalaman Kamal setelah didera dan ditangkap oleh polis Malaysia semasa Protes Sumud Flotilla pada Khamis lepas, di mana dia telah ditahan bersama seorang lagi peserta, yang memilih untuk dikenali sebagai "Tiada Nama", atau "Nama".

---

Semasa protes spontan untuk menuntut pelepasan tahanan Sumud Flotilla dan pembebasan Gaza daripada kezaliman mesin perang AS-Israel, saya telah dikasari, dicekik, dan diheret di atas jalan raya oleh polis Malaysia kerana cuba untuk mempertahankan para pemprotes daripada kekerasan polis. Tindakan yang diambil oleh kawan-kawan saya untuk menghalang penahanan saya tidak berjaya dan hanya menyebabkan mereka sekali diheret dan ditolak sampai jatuh ke tanah.

Saya dicampak ke dalam trak Black Maria, dalam keadaan kaki ayam, tangan digari di belakang, dan kaki dinodai kotoran serta cebisan tar.

Saya dan Nama ditahan di Balai Polis Pudu berhampiran IPD Wangsa Maju selama berjam-jam sambil pihak polis secara terang-terangan menipu peguam kami, keluarga kami, dan penyokong kami yang menunggu di luar balai mengenai keberadaan kami berdua.

Ibu bapa saya dengan tergesa-gesa telah menghubungi balai polis di seluruh KL, termasuk di Wangsa Maju, untuk bertanyakan tentang lokasi saya: kesemuanya telah menyatakan bahawa tiada sebarang rekod dalam sistem tentang penahanan kami.

Hakikatnya, kami telah ditahan sejak jam 1 tengah hari di dalam sebuah bilik mesyuarat di balai polis Pudu. Hanya sebuah tingkap gelap memisahkan kami dan sekumpulan penyokong kami yang telah turun ke balai demi menuntut polis untuk menyatakan keberadaan kami.

Selama sekurang-kurangnya 7 jam, saya seolah-olah tidak wujud di mata pemerintah. Tiada rekod atau surat menyatakan di mana saya berada. Kami terputus daripada dunia luar, tanpa sebarang cara untuk memberitahu kawan-kawan dan penyokong di luar bahawa kami berada di dalam.

Kami tidak diberi peluang untuk memberitahu ibu bapa mahupun keluarga tentang keadaan kami: mereka hanya mendapat tahu tentang penahanan saya setelah melihat video viral di media sosial. Cuba bayangkan kalau ini berlaku kepada anak anda, orang tersayang anda? Dibohongi tentang keberadaan mereka tanpa cara untuk dihubungi? Terpaksa membaca tajuk-tajuk sensasi di media untuk mendapatkan secebis maklumat tentang mereka?

Semasa kami ditahan di dalam bilik mesyuarat, kami disoal siasat dan diugut oleh beberapa orang penyiasat dan pegawai, tanpa kehadiran peguam. Mereka memperlekeh usaha protes kami di hadapan kedutaan AS. Kononnya lebih baik berdoa daripada memprotes untuk menghentikan genosid. Kami disuruh untuk hentikan tindakan yang boleh "mengganggu sensitiviti" kerajaan AS.

Ada juga pegawai yang mengugut untuk memeriksa telefon Nama dan mendesak mereka untuk memadam video kekejaman polis. Saya mengingatkan bahawa mereka tidak boleh berbuat demikian tanpa waran.

Pegawai penyamar yang mencetuskan keganasan semasa protes itu juga cuba mengugut Nama. Sementera seorang lagi polis memadamkan lampu di dalam bilik itu, pegawai SB itu mendekati kami seolah-olah ingin bergaduh, sambil menjerit “Apa kau tak puas hati dengan aku eh?”. Pegawai itu cuma berhenti selepas saya mengingatkan bahawa kami tidak perlu menjawab apa-apa tanpa kehadiran peguam. Dia kemudian menanggalkan gari Nama dan menggari tangan kiri saya ke tangan kiri Nama, menjadikan kami sukar untuk bergerak atau duduk dengan selesa.

Usaha mereka untuk hancurkan semangat kami gagal. Solidariti yang semakin berkembang di luar balai telah menggugat pihak polis, yang kelam-kabut mencari cara untuk memindahkan kami ke IPD Wangsa Maju tanpa dilihat oleh orang ramai. Mereka tidak tahu apa yang patut dibuat dengan kami. Akhirnya mereka memutuskan untuk membawa kami keluar melalui pintu belakang balai Pudu dan memasukkan kami ke dalam kereta “getaway”, memindahkan kami ke IPD Wangsa Maju tanpa dilihat orang ramai.

Hanya sekitar waktu maghrib barulah peguam dibenarkan untuk menemui kami di IPD Wangsa Maju. Namun, hak kami untuk berkomunikasi dengan peguam tanpa keberadaan polis di dalam bilik dinafikan. Peguam hanya sempat membisik hak perlembagaan kami. Selepas peguam meninggalkan kami, polis meneruskan ugutan mereka: “Korang ni ada akal fikiran ke tidak? Mana guna pendidikan kau? Korang ni memang nak ajak orang Malaysia berperang ke? Kenapa tak berjihad di sana je? Masa kawan aku kena bunuh kat Lahad Datu, takde pun orang kau protes?”.

Dalam labirin birokrasi yang penuh dengan prosedur berpanjangan dan mengelirukan, kami kemudian diheret dari satu pejabat ke pejabat lain untuk “diproses”. Saya masih lagi dalam keadaan berkaki ayam, dengan tangan kiri saya digari ke tangan kiri Nama, menjadikan kami sukar berjalan atau bergerak. Habuk, lumpur, dan air kumbahan berkumpul di bawah tapak kaki saya.

Kami ditempatkan di dalam lokap sementara menunggu untuk disoal siasat oleh IO. Saya melihat 10 orang dikurung dalam sangkar seperti haiwan, seperti lembu ternakan. Saya terpijak sesuatu yang kemungkinan air kencing atau air paip yang bocor. Tiada tandas, tiada kemudahan kebersihan, tiada ruang untuk tidur dengan selesa, dan bagi yang beragama, tiada tempat bersih untuk solat atau mengambil wuduk.

Salah seorang daripada mereka memberitahu kami bahawa dia telah dikurung di situ sekurang-kurangnya 4 hari. Kami ceritakan kepada mereka bahawa kami ditangkap semasa protes solidariti pro-Palestin. “Tolong bukak pintu ni, saya bantai diorang,” kata salah seorang. “Salah tu, macam zionis pulak,” jawab seorang lagi. Perbualan kami mengingatkan saya bahawa perjuangan menentang imperialisme dan proksi zionisnya bukan sahaja berlaku dengan demonstrasi di jalanan: ia juga berterusan dalam kalangan mereka yang telah dipadamkan dan "dihilangkan" daripada tatapan masyarakat di sebalik tembok penjara kita.

Apa yang menguatkan semangat saya daripada patah ialah mendengar sorakan dan dentuman sokongan dari mereka yang telah berpiket di luar balai selama berjam-jam, termasuk rakan seperjuangan saya dari Malaysia Protest 4 Palestine, GEGAR, dan lain-lain. Kalau bukan kerana jasa dan pengorbanan mereka yang sanggup meninggalkan segala-galanya untuk berpiket di luar balai, mereka plakad dan poster untuk menuntut pembebasan kami, dan melanggar arahan polis untuk bersurai walaupun diugut dengan penangkapan, sudah lama kami telah dilupakan dan ditinggalkan.

Pengalaman saya dalam penahanan hanya segelintir dari realiti kekejaman sistem penjara Malaysia, dan sistem kepolisan dan pemenjaraan yang mengawal selia masyarakat kita. Saya memikirkan nasib ratusan lelaki, wanita, dan kanak-kanak yang setiap hari "dilenyapkan" oleh negara ini di dalam sistem penjara. Pelarian, migran, dan komuniti yang terpinggir lain yang dinafikan suara dan hak mereka.

Saya bertuah kerana mempunyai komuniti yang memperjuangkan dan membela nasib saya semasa berada di saat yang paling getir dalam hidup saya. Ramai tidak berpeluang sebegitu.

Peristiwa minggu lalu telah mendedahkan sisi sebenar jentera perang imperialis AS dan proksinya, termasuk kerajaan Malaysia, dalam usahanya untuk menghancurkan sebarang bentuk penentangan terhadap agenda genosid, pemerasan, dan penjajahan mereka.

Walaupun propaganda propolis telah berleluasa di media sosial, jurang kuasa antara pihak berkuasa dan rakyat pada hari itu sangat ketara: pasukan polis Malaysia bersenjata – dilindungi kekebalan undang-undang dengan sokongan kedutaan AS – menyerang protes anti-genosid yang dipimpin rakyat biasa, terutamanya wanita, warga emas, dan orang queer.

Taufan Al-Aqsa mengajar kita bahawa perjuangan pembebasan Palestin tidak boleh dipisahkan daripada perjuangan untuk membebaskan banduan daripada sistem pemenjaraan. Rakyat Gaza yang dikepung rejim penjajah zionis dan golongan rentan yang dipenjarakan oleh sistem penjara kita adalah barisan hadapan pertama dalam gelombang fasisme yang semakin menawan dunia.

Ribuan rakyat Palestin masih lagi ditawan dan diseksa oleh rejim Zionis hingga ke hari ini. Ramai peserta Global Sumud Flotilla masih lagi ditahan, diseksa dan dianiaya.

Daripada tahanan Palestine Action di UK, kepada Tarek Bazrouk, Mumia Abu-Jamal dan pejuang pembebasan kaum minoriti lain di AS, kepada mereka yang bangkit menentang rejim tajaan imperialis di Myanmar, Indonesia dan Filipina – pejuang pembebasan di seluruh dunia sedang dipenjarakan dan diseksa kerana menentang jentera perang imperialis. Kita tidak boleh melupakan mereka. Kita mesti menyambut semangat perjuangan mereka.

Penangkapan kami mengingatkan kita bahawa hanya solidariti dan komuniti boleh melawan penindasan. Dari sebalik tingkap gelap di mana kami ditahan, saya melihat bagaimana orang ramai mengedarkan poster solidariti yang direka dan dicetak dengan tergesa-gesa, mengedarkan air dan biskut kepada mereka yang berdiri berjam-jam di bawah terik matahari dan hujan, dan bertukar-tukar idea untuk langkah seterusnya.

Tiada siapa jangkakan tahap kekejaman polis pada hari itu, tetapi rangkaian solidariti dan semangat bantuan bersama yang terbentuk sejurus protes itu menunjukkan betapa kuatnya kuasa rakyat sebenarnya.

Ia menunjukkan kepada kita bahawa hanya gerakan yang dipimpin rakyat – dari golongan pekerja hingga ke banduan – mampu membina dunia yang bebas daripada penindasan, bebas daripada sempadan penjajah, dan bebas daripada sistem penyiksaan yang dipanggil penjara.

Kita tidak boleh tunduk kepada penindasan. Kita tidak boleh termakan propaganda pihak berkuasa. Kita tidak boleh gentar dengan serangan mereka.

Imperialisme hanya boleh menang jika kami berpecah-belah.

Penulis: Kamal Aarif K.

Penyunting: Ayman Hareez Muhammad Adib