
TOLAK PELAN PENJAJAHAN GAZA, PERTAHANKAN TAUFAN AL-AQSA
Kami sekeras-kerasnya mengecam Resolusi 2803 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada 17 November, yang menguatkuasakan “pelan keamanan” Trump buat Gaza. UNSC telah mencapai keputusan undi 13-0 yang meluluskannya, sementara China dan Russia telah gagal untuk mengenakan veto pada resolusi tersebut biarpun menyatakan pembantahan.
Pelan Trump bukanlah jalan ke arah kesejahteraan; ia merupakan aturan genosid dan penjajahan yang berselindung di sebalik cogan keselamatan dan kestabilan. Resolusi tersebut akan meletakkan Gaza secara langsung di bawah kuasa suatu “Lembaga Keamanan” global, yang dipengerusikan oleh Donald Trump dan dipantau oleh sekumpulan pelobi Zionis, pencatut perang dan jenayah perang termasuk Jared Kushner dan Tony Blair.
Resolusi tersebut merupakan jenayah terhebat terhadap warga Palestin yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak ia menyokong Pelan Pembahagian 1947 pada 29 November, 1947. Matlamat terasnya adalah untuk melucutkan senjata Hamas, mengekang perjuangan dan kedaulatan warga Palestin, dan penjajahan serta pemerahan tanah juga lautan Palestin untuk kepentingan kaum kapitalis dan korporasi multinasional. Dalam erti kata lain: ia menjadikan Gaza sebagai “Riviera Timur Tengah”.
Penjajahan Gaza yang dirancang ini merupakan sebahagian daripada konspirasi besar Barat, diketuai oleh AS, untuk merombak Paksi Pertahanan dan mengembalikan hegemoni AS. Sambil mencuba untuk melucutkan kekuasan Hamas dan para pejuang Palestin, AS dan proksi-proksinya juga menuntut pelucutan senjata Hizbullah di Lubnan. Dengan bantuan HTS Jolani, mereka telah melucutkan senjata kem pelarian Palestin di Syria dan mengusir puak revolusioner Palestin termasuk PFLP-GC. Dalam keadaan perjuangan dimusnahkan dan dilemahkan, dan pemerintah-pemerintahnya menunduk kepada kepentingan imperialis, rakyat Lubnan Selatan dan Syria mengalami bencana secara berkala, penjajahan militer, dan serangan udara oleh entiti Zionis.
Sekarang, AS ingin memaksakan seluruh rantau Arab-Iran untuk jatuh kepada pengaruhnya dan bergantung keatas kuasanya, dengan menjatuhkan barisan terakhir yakni massa Gaza yang berjuang serta muqawamahnya.
Jangan salah faham: Tindakan membenarkan ketenteraan antarabangsa memasuki Gaza yang telah dilucutkan senjata akan menyebabkan kemusnahan manusia seperti yang berlaku dalam penaklukan yang disokong oleh UNSC di Iraq pada tahun 2003, di Haiti pada tahun 2004, dan penyahstabilan Libya pada tahun 2011. Hal ini akan mengorbankan berjuta-juta nyawa demi kepentingan imperialis di bawah topeng “demokrasi”, “keamanan”, dan “bantuan kemanusiaan”; mewujudkan keadaan untuk kebergantungan berkekalan dan perang selama-lamanya.
Jika pelan ini dilaksanakan, AS akan berjaya menundukkan seluruh rantau Arab-Iran dan Dunia Selatan kepada kemahuannya, memulakan era tirani yang tidak terkawal dan kemusnahan di seluruh rantau.
AS dan rejim Trump sudah memulakan perbincangan bersama Emiriah Arab Bersatu, Mesir, Qatar, Indonesia, dan Azerbaijan untuk menyumbang kuasa militer ke arah menjajah Gaza, sementara sekutu imperialis lain termasuk Malaysia, Pakistan, Turki, Australia, Kanada, Cyprus, dan Perancis telah meluahkan niat untuk menghantar “pasukan penjaga keamanan”.
Kita wajib tegas: ini adalah genosid. Hal ini merupakan penjajahan militer dan pemerintah-pemerintah Dunia Selatan, termasuk Malaysia, sedang memberi laluan kepada senapang, kereta kebal dan cemeti pihak penjajah.
Kami memahami bahawa undang-undang, perjanjian, dan yang sewaktu dengannya hanyalah alat-alat tuan untuk mengekalkan rumah tuan. Dari perjanjian perdagangan resiprokal yang mengabdikan rakyat Malaysia, Indonesia, dan Filipina hingga pemerahan-sumber neokolonial, ke perjanjian normalisasi Zionis baharu bersama Syria, Lubnan, dan Saudi Arabia, ke “perjanjian keamanan” diperantarakan AS di Kongo dan sekarang Gaza, perjanjian-perjanjian ini yang diperantarakan puak elit kapitalis di kayangan kekuasaan hanyalah aparat hegemoni yang bertujuan mengubah rantau menurut rekabentuk AS.
Melawan bahasa Empayar mengenai keamanan, diplomasi, dan kestabilan, kita wajib mempertahankan semangat revolusioner Taufan al-Aqsa, yang masih menjadi antara tindakan penyahjajahan terhebat dalam sejarah moden. Taufan al-Aqsa menghancurkan mitos kekebalan Zionis di rantau tersebut, membangkit semula kesedaran massa global, dan membalikkan rangka kerja Oslo yang menundukkan warga Palestin kepada penjajahan pemukiman yang tidak dipertikaikan, pemenjaraan besar-besaran, pengeboman, dan kepungan selama berdasawarsa, di bawah cogan palsu AS untuk “keamanan”.
Di tengah-tengah kepasifan global menghadapi Zionis dan muslihat-muslihat imperialis, Taufan al-Aqsa telah mencetuskan gelombang baharu perjuangan radikal dari dalam perut musuh dan di seluruh dunia, dari perjuangan bersenjata di Palestin, Lubnan, Yaman, Iran, dan Iraq, ke kem-kem mahasiswa di benua Amerika Utara dan Afrika Baharu; dari tindakan militan secara langsung di UK dan mogok besar-besaran yang diketuai kaum buruh di Italia, ke perjuangan kolektif yang diketuai rakyat menentang jentera perang AS-Israel melintasi Amerika Latin, Afrika, dan Asia-Pasifik.
Tindakan melucutkan senjata Perjuangan Palestin dan meletakkan Gaza di bawah penjajahan militer bukan sahaja menerukkan lagi Holocaust sokongan Barat yang dialami warga Palestin, malah merupakan pengkhianatan terang-terangan terhadap kaum ditindas di seluruh dunia yang telah bangkit bersolidariti bersama Palestin melawan sistem imperialisme, kapitalisme, dan genosid dalam tempoh dua tahun lalu. Pelan keamanan empayar AS merupakan kontrarevolusi yang melawan legasi Taufan al-Aqsa serta seluruh perjuangan rakyat demi pembebasan daripada pemerahan imperialis dan dominasi kapitalis.
Sesaat kita menghampiri ulang tahun ke-78 Rancangan Pembahagian PBB 1947 pada 29 November, kita harus menolak komplot-komplot imperialis baharu yang berusaha untuk terus membahagikan dan menduduki tanah air rakyat Palestin.
Jatuhkan jentera AS-Israel! Tolak penjajahan dan pelan keamanan! Kemenangan buat Perjuangan! Kita tidak patut membenarkan kem kapitalis dan imperialis untuk menang perlawanan menentang massa yang berjuang.
SERUAN KAMI
- Tolak pasukan penjaga keamanan antarabangsa dan penjajahan militer ke atas Gaza. Tuntut kerajaan Malaysia untuk membantah pelan ini serta-merta.
- Tamatkan kepungan mengelilingi Gaza dan benarkan kemasukan makanan, ubatan, dan barangan keperluan lain secara serta-merta tanpa bersyarat ke dalam Gaza, tanpa perlu ada kehadiran mana-mana pasukan militer haram di tanah Palestin, sama ada daripada rejim Zionis mahupun koalisi global yang disokong AS dan PBB.
- Bangunkan jaringan popular antarabangsa dan satukan semua gerakan dan organisasi antiimperialis radikal dan militan di seluruh dunia menentang jentera perang imperialis AS, selaras dengan teras perjuangan bersenjata Palestin.
Disokong oleh:
- GEGAR (Gerakan Gabungan Anti-Imperialis)
- Students Against Genocide Malaysia (SAGM)
- Sekolah Merdeka
- Malaysia Protest 4 Palestine (MP4P)
- Projek Ruang Lawan Malaysia
- Angkatan Siswa Sosialis (AKSI)
- Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia
- BDS Malaysia
- Indonesian Students for Justice in Palestine
- Beranda Migran
- Koordinasi Purna Pekerja Migran Indonesia (KOPPMI)
- Stop the War Coalition Philippines
- Partido Sosyalista
- Bandilang Itim
- Palestine Solidarity Campaign Thailand
- Cambodia Palestine Solidarity
- Việt for Palestine
26 NOVEMBER 2025

