
Kami, organisasi-organisasi pro-Palestin yang bertandatangan di bawah, mengecam penyebaran maklumat tidak benar oleh media arus perdana Malaysia termasuk Bernama, Free Malaysia Today, Harian Metro, The Sun, dan The Star yang melaporkan secara palsu bahawa aktivis dan rakan seperjuangan kami, 'Nama', telah mencederakan seorang peserta semasa perhimpunan Global Sumud Flotilla pada 2 Oktober 2025 di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, yang dianjurkan oleh Malaysia Protest for Palestine.
Sebagai organisasi yang terlibat dengan perhimpunan tersebut dan membantu menyelaraskan bantuan pasca-penahanan baga 'Nama', kami menegaskan bahawa individu yang mendakwa dicederakan, Muhamad Hafizi Nooraldin, bukan peserta aman dalam perhimpunan GSF, tetapi merupakan seorang pegawai polis tidak beruniform yang sengaja mencetuskan keganasan semasa protes aman tersebut, seperti dibuktikan oleh beberapa rakaman video yang disiarkan oleh peserta dan penganjur perhimpunan tersebut.
Tingkah laku pegawai polis pada hari itu telah membahayakan keselamatan rakyat awam yang menghadiri perhimpunan tersebut, termasuk warga emas, wanita dan anak muda. Pihak polis gagal memenuhi tuntutan peserta untuk dibenarkan menghampiri Kedutaan AS, sebaliknya menolak para peserta ke jalan raya yang kesesakan lalu lintas. Pegawai polis sendiri mencetuskan keadaan kacau-bilau yang membawa kepada kekecohan, akhirnya mengakibatkan penahanan tidak sah ke atas dua aktivis pro-Palestin, 'Nama' dan Kamal, yang sebenarnya cuba meredakan ketegangan dan menghalang polis — termasuk pegawai tidak beruniform tersebut — daripada mengasari peserta awam yang tidak bersalah.
Sebagai penganjur utama perhimpunan GSF, 'Malaysia Protest for Palestine' menegaskan:"Pemutarbalikan fakta yang terang-terangan oleh media ini adalah memalukan dan menjijikkan. Lebih teruk ialah betapa jauhnya PDRM sanggup pergi untuk melindungi kedutaan sebuah negara yang terpalit dengan genosid. Mereka sanggup mengabaikan Prosedur Operasi Standard, mencabuli hak perlembagaan rakyat Malaysia, serta mengakibatkan kecederaan fizikal kepada para pemprotes Palestin. Ini menimbulkan persoalan - di manakah sebenarnya kedudukan media kita, PDRM, dan kerajaan kita dalam isu Palestin-Israel?"
Hari ini, pihak berkuasa telah mendakwa 'Nama' di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas tuduhan mencederakan pegawai berkenaan, walaupun bukti jelas menunjukkan peranan polis dalam mencetuskan keganasan dan membuatkan perhimpunan aman tersebut menjadi huru-hara.
Kami menegaskan semula bahawa pendakwaan ini adalah percubaan bermotifkan politik untuk mematahkan aktivisme pro-Palestin yang menentang imperialisme AS, sekaligus mengalih perhatian orang awam daripada kerajaan Malaysia yang bersekongkol dengan imperialisme AS dalam genosid rakyat Palestin.
Kami sedar bahawa polis adalah sebahagian daripada sistem kekerasan dan penindasan yang berfungsi untuk melindungi kepentingan kelas pemerintah, sambil menyekat suara rakyat marhaen Malaysia yang biasa.
Sebagai warganegara Malaysia, kami berhak untuk berhimpun secara aman, dan kami akan terus melakukannya meskipun berhadapan dengan intimidasi oleh kerajaan.
Adalah tanggungjawab sistem keadilan untuk menjunjung hak kami sebagai rakyat dan memastikan tindakan keras berlebihan yang ditunjukkan pihak berkuasa ditangani dengan sewajarnya.
Adalah tanggungjawab media untuk memastikan fakta disampaikan dengan tepat dan maklumat betul disampaikan kepada orang awam.
Kami telah melaksanakan tanggungjawab kami; kini tiba masanya sistem yang berkuasa juga melaksanakan tanggungjawab mereka.
DITANDATANGANI OLEH
- Malaysia Protest for Palestine
- GEGAR (Gerakan Gabungan Anti-Imperialis)
- SAGM (Students Against Genocide Malaysia)
- Sekolah Merdeka
- BDS Malaysia
31 DISEMBER 2025

