Gegar Amerika Logo
Karikatur/kartun Anwar cium tangan Trump
2025-11-02
Malaysia Dijual ke Amerika
Kerajaan Madani bercium tangan penjajah.

Perjanjian antara Donald Trump dan Anwar Ibrahim di Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 telah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai proksi imperialis Amerika. Ini bukan perdagangan. Ini adalah penjajahan.

Demi mengekalkan tarif 19%, lebih AS$220 bilion (RM 1 trilion) hasil titik peluh rakyat Malaysia akan diserahkan kepada Amerika Syarikat. Malaysia akan dipaksa untuk membeli barangan Amerika bernilai lebih AS$150 bilion (RM 720 bilion) dalam
tempoh lima tahun termasuk semikonduktor, peralatan pusat data, pesawat, arang batu, dan gas. Ini ditambah dengan pelaburan tambahan AS$70 bilion (RM 336 bilion) di AS dalam tempoh sepuluh tahun.

Dengan perjanjian ini, Malaysia telah bersetuju untuk membelanjakan berbilion ASD dalam industri-industri Amerika yang membekal senjata kepada jentera perang AS Israel. Bawah Lampiran IV, Malaysia Aviation Group (MAG) dikehendaki membeli 30 pesawat Boeing bernilai AS$9.5 bilion (RM 44.65 billion). Boeing antara pembekal senjata utama rejim zionis.

Perjanjian ini juga menjadikan Malaysia pelabuh dalam sektor semikonduktor Amerika Syarikat. Industri semiconduktor memainkan peranan penting dalam genosid Amerika-Israel di Palestin, Lubnan, Yaman, dan banyak lagi. Semikonduktor adalah komponen penting dalam senjata tentera A.S., termasuk peluru berpandu Javelin yang dihasilkan oleh Lockheed Martin. Syarikat-syarikat cip terbesar di AS termasuk Nvidia dan Intel memain peranan penting dalam membolehkan kemampuan kecerdasan buatan (AI) Israel. Subsidiari BAE Systems di Amerika Syarikat memainkan peranan penting dalam membekalkan mikrocip kepada tentera Amerika Syarikat dan Israel.

Ia menimbulkan soalan: Duit ini datang dari mana sedangkan rakyat sendiri merana? Sistem kesihatan awam kita tengah nyawa-nyawa ikan. Rakyat Malaysia masih tiada perumahan dan pekerjaan yang stabil. Kanak-kanak di kawasan dalaman dan Orang Asli masih lagi tiada akses kepada infrastruktur asas seperti pendidikan.

Perjanjian nadir bumi dengan AS juga merupakan sebentuk penjajahan dan perampasan tanah. Malaysia memiliki lebih 16.1 juta tan deposit nadir bumi, kebanyakannya di sekitar perkampungan luar bandar dan tanah adat Orang Asli dan Asal.

Bawah Artikel 6.2, Lampiran III, Malaysia harus membekalkan Amerika Syarikat dengan bahan dan hasil nadir bumi; membawa risiko pencemaran dan kemusnahan besar kepada ekosistem dan komuniti tempatan.

Bukan sahaja itu, Sumber nadir bumi ini adalah komponen penting dalam jentera perang Amerika-Israel. Bahan nadir bumi digunakan tentera Amerika untuk hasilkan jet pejuang F-35, kapal selam, laser, satelit, dan peluru berpandu Tomahawk. Senjata sama yang dijual ke Israel untuk bunuh rakyat Palestin.

Ekonomi tempatan dan kehidupan petani akan terjejas. Bawah Lampiran 1, Amerika Syarikat menetapkan kuota bebas cukai yang besar bagi barangan pertanian sensitif termasuk dua juta liter susu, sejuta telur dan 500,000 kg daging khinzir pada tahun pertama, dan jumlah ini akan meningkat setiap tahun. Pasaran tempatan akan dibanjiri dengan produk basah AS, menjejaskan petani-petani lokal yang tidak mampu bersaing.

Malaysia juga akan terpaksa mengiktiraf piawaian keselamatan makanan AS dan menerima produk daging, tenusu serta ayam dari AS tanpa pemeriksaan mengikut standard Malaysia. Wabak selesema burung kini sedang melanda ladang-ladang AS. Trump pula telah mengambil langkah untuk menyahkawal selia industri makanan AS. Piawaian makanan Amerika terang-terang lebih teruk daripada kita.

Bawah Artikel 5.1.1, Malaysia juga terpaksa untuk menjadi bidak peperangan ekonomi AS, mewajibkannya untuk mematuhi sekatan terhadap mana-mana negara yang dianggap musuh Amerika Syarikat, termasuk China, Venezuela, Iran, dan Paksi Perlawanan (Axis of Resistance). Ini bukan diplomasi. Ini dominasi.

Jadi apa respons anda sebagai rakyat Malaysia? Adakah anda rela dihambakan dan
dijajah semula? Adakah anda akan pilih jalan penghinaan atau jalan perjuangan?

Hentikan bersikap pasif!

Kita tidak boleh berdiam diri.

Cabar naratif kelas pemerintah kita!

Tuntut yang lebih baik untuk masa hadapan rakyat dan negara!

Tolak imperialisme Amerika!

Dari kaum pekerja ke petani, seluruh rakyat Malaysia harus bangkit!

GEGAR

2 NOVEMBER 2025

Sumber

  1. The White House, “Agreement Between the United States of America and Malaysia on Reciprocal Trade,”October 26, 2025, US Mission to ASEAN, https:/asean.usmission.gov/agreement-between-the-united-states-of-america-and-malaysia-on-reciprocal-trade/
  2. MalaysiaNow, “A charter for annexation: How Anwar delivers Malaysia on a platter to Uncle Sam,” October 29, 2025, MalaysiaNow, https://www.malaysianow.com/news/2025/10/29/a-charter-for-annexation-how-anwar-delivers-malaysia-on-a-platter-to-uncle-sam
  3. Meenakshi Raman and Mohideen Abdul Kader, "Malaysia-US pact surrenders Malaysia’s sovereignty," October 30, 2025, Sahabat Alam Malaysia, https://foe-malaysia.org/articles/malaysia-us-pact-surrenders-malaysias-sovereignty/
  4. KUASA, “Kenyataan media Persatuan Aktivis Sahabat Alam - KUASA,” October 29. 2025, KUASA Perak, https://www.instagram.com/p/DQYd8zdk07R/?hl=en&img_index=3