Gegar Amerika Logo
2025-05-24
Hentikan Sekatan, Permainan Perang
Gaza dikepung zionis, Malaysia berlatih dengan pembunuhnya di LIMA 2025

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah memberi amaran bahawa seramai 14,000 kanak-kanak di Gaza akan menghadapi kebuluran dan kematian jika bantuan tidak sampai kepada mereka dalam masa 48 jam.

Ini berikutan tiga bulan sekatan kejam yang dikenakan oleh Israel ke atas lebih dua juta rakyat Palestin di Gaza sejak kegagalan rundingan gencatan senjata. Rejim Israel telah menggunakan keganasan untuk memusnahkan segala usaha untuk mempertahankan nyawa di Gaza. Awal Mei lalu, konvoi kemanusiaan antarabangsa Freedom Flotilla telah dibom oleh serangan dron Israel, hanya beberapa minggu selepas pasukan paramedik diserang dan dibunuh di Rafah, sementara hospital dan klinik terus dibedil dengan bom buatan Amerika dan Eropah.

Mirip dengan pendudukan Iraq dan Afghanistan, pentadbiran Trump merancang untuk menjajah Gaza di bawah penguasaan AS. Kerajaan Amerika telah menubuhkan "Gaza Humanitarian Foundation", sebuah muslihat untuk memusnahkan organisasi bantuan di Palestin dan menggantikan pekerja kemanusiaan dengan askar upahan AS yang dilatih Israel. Makanan, ubat-ubatan, dan bantuan lain akan dikawal ketat oleh askar upahan ini menggunakan trak berperisai dan sekatan jalan.

Usah dinafikan bahawa setiap institusi antarabangsa dan kerajaan, termasuk Malaysia, turut terpalit kerana membenarkan sekatan dan kebuluran di Gaza terus berlaku.

Sementara bayi-bayi di Gaza mati kelaparan dan tentera AS bersiap untuk menceroboh Gaza, kerajaan Malaysia menjemput tentera laut AS ke Langkawi bagi menyertai Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) dari 20 hingga 24 Mei.

LIMA bertujuan untuk memperkukuh kerjasama ketenteraan Malaysia-AS dalam "peperangan anti-kapal selam, pertahanan strategik, dan operasi darat-laut-udara." Selain menjemput tentera AS yang terlibat dalam genosid di Yaman dan Palestin, pameran LIMA juga mengundang syarikat-syarikat yang membekalkan senjata kepada Israel untuk kempen pembunuhannya di Gaza, termasuk Leonardo dan Airbus.

Dengan perbelanjaan ketenteraan bernilai RM21 bilion, kerajaan Malaysia seharusnya mengambil tindakan kukuh untuk hentikan sekatan keatas Gaza dan membuka laluan selamat untuk konvoi antarabangsa seperti Freedom Flotilla. Namun, tentera Malaysia sedang bermain permainan perang dengan tentera Amerika, yang bukan sahaja menyumbang kepada genosid tetapi juga merosakkan alam sekitar dan kehidupan masyarakat tempatan di Langkawi, menyebabkan kerosakan harta benda dan rumah.

Tahun depan, kerajaan Malaysia bakal menyertai RIMPAC 2026 bersama AS dan Israel untuk bertukar maklumat, strategi pertahanan, dan taktik perang.

Sebagai ahli Kumpulan Hague dan negara anggota PBB, penyertaan Malaysia dalam latihan ketenteraan AS dan kerjasamanya dengan pengeluar senjata zionis jelas melanggar kewajipannya di bawah undang-undang antarabangsa. Secara tidak langsung, kerajaan Malaysia telah menjadi perantara untuk pemindahan senjata dan sumber lain yang digunakan Israel dalam genosidnya.

Tindakan kerajaan Malaysia dalam perkara ini tiada beza dengan rejim zalim di Timur Tengah seperti Jordan, UAE, Arab Saudi, Maghribi, dan Turki, yang terus mengaut keuntungan dari kesengsaraan rakyat Palestin sambil menormalisasi perhubungan dengan rejim Zionis dan sekutunya.

Oleh itu, kami menuntut:

  1. TAMATKAN SEKATAN SEKARANG: Masyarakat antarabangsa harus hentikan sekatan haram Israel terhadap Gaza dan segera membuka koridor kemanusiaan ke Gaza.
  2. USIR TENTERA AS DARI ASIA: Kerajaan Malaysia harus membatalkan dan menggantung semua perjanjian pertahanan dengan tentera AS selagi ia terus memudahkan sekatan genosid ke atas Gaza dan pendudukan zionis di Palestin. Tarik diri daripada segala bentuk kerjasama dengan kuasa imperialis, termasuk LIMA 2025 dan RIMPAC 2026.
  3. HENTIKAN PENGUASAAN AS KE ATAS GAZA: Malaysia mesti menggunakan semua aset diplomatik dan ketenteraan untuk menghentikan pendudukan AS-Israel, menekan blok imperialis untuk hentikan sokongan kepada Israel, dan memastikan keselamatan konvoi antarabangsa seperti Freedom Flotilla.

Disokong oleh:

1. Gerakan Gabungan Anti-Imperialis (GEGAR)

2. Students Against Genocide Malaysia (SAGM)

3. Gabungan Mahasiswa Memperjuangkan Palestin (GMMP)

4. Sekolah Merdeka

5. Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (AKSI)

6. Pemuda Sosialis

7. Suara Siswa UiTM

GEGAR

24 MEI 2025